BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday, May 1, 2011

Mengenali Nombor E ( E NUMBERS) Yang Digunakan Dalam Aditif Makanan

Nombor E ( E Numbers)
Nombor E ialah kod nombor untuk bahan tambah (aditif) dan ianya selalu digunakan pada label makanan di negara Kesatuan Eropah. Bahan aditif ialah bahan yang selamat dimakan yang ditambah secara sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti yang sedikit bagi mempengaruhi kualiti penyimpanan, pemprosesan, penyediaan dan pembungkusan makanan.

Skim penomboran ini mengikut Sistem Penomboran Antarabangsa (International Numbering System @ INS) yang telah ditentukan oleh Jawatankuasa Codex Alimentarius. Codex Alimentarius ialah dari bahasa Latin yang bermaksud "kod makanan" atau "buku makanan". Ia adalah koleksi pelbagai standard, kod praktis, panduan antarabangsa yang diiktiraf berkaitan dengan makanan, pemprosesan makanan dan keselamatan makanan bertujuan untuk menjaga kesihatan manusia dan memastikan kod perdagangan yang beretika dijalankan.

Bagi Kesatuan Eropah, Kod E itu adalah merujuk kepada aditif yang boleh dimakan kerana hanya sebahagian daripada bahan aditif INS yang dibenar untuk digunakan. Nombor E juga digunakan pada label pemakanan di Australia, New Zealand, Amerika Utara, terutama Kanada dan Israel.

Pengkelasan Nombor E Mengikut Jenis Bahan Aditif
E100-E199 ---> Warna
E200-E299 ---> Pengawet
E300-E399 ---> Oksidan, Fostat, Antioksida, Pengawal Asid
E400-E499 ---> Pemekat, Pelembap, Penstabil, Emulsifier
E500-E599 ---> Garam, Regulator asid, Agen penghalang Kerak
E600-E699 ---> Penambah perisa
E900-E999 ---> Pemanis, Bahan-bahan lain
E1000-E1999 ---> Bahan kimia tambahan

Kesimpulan
Tidak semua Nombor E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan berasaskan dari sumber yang haram. Bahan-bahan aditif ini boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semulajadi, kimia dan haiwan. Contoh E yang paling kerap ditanya orang ramai adalah E471. Ia adalah sejenis emulsifier iaitu mono dan digliserida. sumbernya adalah dari lemak sintetik yang terhasil dari gliserol dan asid lemak semulajadi terutamanya dalam tumbuhan (contohnya minyak kelapa sawit) atau lemak haiwan. Ramuan ini secara umumnya ialah sebatian pelbagai bahan dengan kandungannya hampir sama dengan lemak semulajadi yang boleh dihadam.

Masyarakat seharusnya peka mengenai jenis aditif makanan dan tahap kandungan yang dibenarkan untuk digunakan dalam sesuatu produk makanan. Pihak industri makanan dan barang gunaan pula bertanggungjawab untuk mengenalpasti status sumber aditif makanan yang digunakan supaya tidak akan menimbulkan keraguan kepada pengguna Islam.  Manakala Bahagian Hab Halal JAKIM akan memastikan syarikat yang memohon sijil halal wajib mengisytihar kesemua ramuan trmasuk aditif makanan yang digunakan beserta dokumen yang kukuh ( seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisi makmal). Jika terdapat sebarang kemusykilan, pengguna boleh menghubungi Bahagian Hab Halal ditalian 03-8315 0200

(JAKIM)

:: wallahua'lam ::
~ sentiasalah ambil tahu apa yang kita makan ~





0 comments: